Selain daripada makanan, senaman juga adalah antara
perkara penting yang perlu dilakukan untuk memastikan tubuh mencapai
kualiti yang baik. Jadi di samping kita bersenam setiap hari, apa kata
baca-baca info berikut tentang senaman dan kesannya terhadap aspek fisiologi
dan juga kesihatan.
Kesan Senaman Dari Aspek Fisiologi
Fisiologi merujuk pada fungsi dan proses dalam sistem
tubuh badan manusia, seperti sistem pernafasan, sistem peredaran darah dan
sistem otot.
Orang yang aktif dalam senaman dan kegiatan rekreasi akan memperolehi
faedah seperti peningkatan daya tahan kardiovaskular dan tahap kelenturannya.
Faedah fisiologi yang lain termasuklah dapat mengawal koordinasinya dan
meningkatkan daya tahan dan kekuatan ototnya.
Faedah senaman dan rekreasi dari segi fisiologi termasuklah
peningkatan dari aspek:
i.koordinasi
ii.kelenturan;
iii.koordinasi;
iv. kekuatan.
i.koordinasi
ii.kelenturan;
iii.koordinasi;
iv. kekuatan.
Koordinasi
Koordinasi bermaksud kebolehan menyesuaikan deria dengan otot bagi menghasilkan ketepatan, kelicinan dan keharmonian pergerakan. Sekiranya seseorang itu sering melakukan aktiviti fizikal, ini akan dapat meningkatkan keupayaan koordinasinya. Sebagai contoh melakukan aktiviti yoga. Senaman Yoga dapat membantu membaiki koordinasi tubuh, mempertingkatkan kapasiti kardiovaskular, memperkuatkan jaringan otot dan membantu memperbaiki kordinasi tubuh.
Kepantasan
Kepantasan didefinisikan sebagai keupayaan melakukan pergerakan dalam suatu jangka masa yang singkat. Aktiviti fizikal berbentuk kepantasan seperti berjalan pantas dan joging perlahan meningkatkan pengaliran darah ke tisu dan otot.
Kuasa
Kuasa berkait rapat dengan kadar tenaga melakukan sesuatu kerja. Seorang yan rajin bersenam, misalnya melalui aktiviti berenang atau marathon akan dapat meningkatkan kebolehan kuasa tubuh badannya.
Keseimbangan
Keseimbangan berkait rapat dengan keupayaan mengekalkan keseimbangan ketika dalam keadaan statik atau bergerak. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keseimbangan badan ialah berjalan di atas titian, atau berjogging dan berjalan selama 20 minit hingga 30 minit, tiga kali seminggu.
Ketangkasan
Aktiviti fizikal juga akan memberikan kesan terhadap ketangkasan seseorang. Ketangkasan adalah berkait rapat dengan keupayaan mengubah haluan atau pergerakan dengan pantas dan tepat melalui ruang. Contoh aktiviti fizikal yang dapat meningkatkan kepantasan seseorang ialah larian zig zag dan latihan boomerang.
Masa tindak balas
Masa tindak balas berkait rapat dengan masa antara suatu stimulus dengan permulaan tindakan kepada stimulus tersebut. Semakin cepat seseorang bertindak balas terhadap stimulus, semakin cepat masa tindak balasnya. Justeru, dengan melaksanakan pelbagai aktiviti fizikal, seseorang akan dapat meningkatkan masa tindak balasnya.
Kesan Senaman Terhadap Kesihatan
Kesan aktiviti fizikal terhadap kesihatan boleh
dilihat dari segi:
i.daya tahan kardiorespiratori
ii. daya tahan otot
iii. kekuatan otot
iv. fleksibiliti
v. komposisi badan
Daya tahan kardiorespiratori
Carrol (1994) menyatakan bahawa kecergasan kardiovaskular adalah merupakan keupayaan seseorang untuk melakukan tugas berat secara berterusan bagi satu jangkamasa yang panjang.
Ia juga dikenali sebagai kecergasan aerobik, iaitu
keupayaan sistem peredaran dan respiratori untuk penyesuaian dan pemulihan
kesan daripada aktiviti fizikal seperti berlari, berjalan laju, berbasikal,
berenang dan sebagainya (Nieman, 2003).
Melalui aktiviti fizikal seseorang itu
boleh meningkatkan tahap kecergasan kardiovaskular dan juga dapat mengurangkan
risiko penyakit berkaitan jantung, diabetes, darah tinggi dan jenis-jenis
kanser yang tertentu (Larsen, George, Alaxender, dan Fellingham, 2002).
Pate
(1991) melaporkan terdapat hubungan yang konsisten antara pengukuran dalam
aktiviti fizikal, kecergasan fizikal dan penyakit yang berkaitan dengan
kardiovaskular. Melalui ujian dan pengukuran, kita boleh mengenalpasti tahap
kecergasan kardiovaskular seseorang dan mencadangkan latihan yang sesuai bagi
mereka. Ia boleh dijadikan motivasi untuk peningkatan prestasi, atau meneruskan
gaya hidup sihat, dan juga sebagai langkah awal untuk pengesanan penyakit
(Miller, 1994).
Daya tahan otot
Daya tahan otot didefinisikan sebagai keupayaan otot menghasilkan daya submaksimum yang berulang-ulang mengatasi rintangan atau mengekalkan kontraksi otot berterusan untuk suatu jangka masa yang panjang.
Komponen ini merangkumi
aktiviti yang melibatkan suatu jangka masa yang panjang pada intensiti yang
rendah. ‘Skipping’ juga adalah antara senaman ringkas dan mudah yang boleh anda
lakukan pada bila-bila masa sahaja.
Anda hanya memerlukan seutas tali ‘skipping’
dan ruang yang mencukupi. Walaupun agak mudah tetapi manfaat yang bakal anda
perolehi daripada ‘skipping’ hampir sama dengan jogging. Ia membantu menguatkan
otot-otot lengan, perut, paha dan juga boleh mengurangkan lemak dalam badan
anda.
Kekuatan otot
Kekuatan otot didefinisikan sebagai keupayaan sesuatu otot atau kumpulan otot menghasilkan daya maksimum mengatasi rintangan.
Komponen ini merangkumi
aktiviti yang melibatkan suatu jangka masa yang pendek pada intensiti yang
tinggi. Fox dan Mathews (1981) menjelaskan bahawa kekuatan adalah kemampuan
otot atau sekumpulan otot dalam mengatasi rintangan bagi menghasilkan daya atau
kerja.
O’Shea (1976) menyatakan bahawa kekuatan merupakan fungsi otot rangka
dan keupayaannya menghasilkan daya atau kuasa otot. Beliau menjelaskan bahawa
terdapat kesan yang positif terhadap peningkatan kekuatan otot dengan latihan
bebanan dalam setiap aktiviti sukan.
Fleksibiliti
Fleksibiliti merujuk pergerakan sesuatu sendi melalui julat pergerakan sepenuhnya.
Fleksibiliti perlu bagi pergerakan yang lancar dan efisien, juga
dapat mencegah daripada berlakunya kecederaan pada bahagian sendi dan otot.
Aktiviti yang dapat meningkatkan fleksibiliti seseorang adalah aktiviti
regangan. Senaman ini menjadikan tubuh mudah lentur. Ini dilakukan dengan
aktiviti regangan membabitkan otot dan tisu yang menentukan keseimbangan tubuh.
Ahli terapi fizikal mencadangkan senaman regangan dilakukan terhadap pesakit
untuk pulih dari kecederaan. Selain itu, senaman ini baik untuk mencegah
masalah terjatuh.
Komposisi badan
Komposisi badan merujuk perkadaran jumlah lemak badan dengan berat tanpa lemak.
Peratusan lemak badan adalah pengukuran kegemukan yang lebih baik berbanding
berat badan. Kelebihan lemak dalam badan amat berkaitan dengan pelbagai jenis
penyakit kronik. Komposisi badan adalah salah satu komponen kecergasan yang
penting.
Manusia yang mempunyai komposisi badan yang optimum tampak sihat,
bergerak dengan lebih efisien dan berasa yakin terhadap diri mereka sendiri.
Untuk mencapai kesejahteraan, kita mesti menetapkan tahap komposisi badan yang
sesuai untuk diri kita dan berusaha untuk mencapai dan mengekalkan tahap
komposisi badan yang optimum.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis information is good
ReplyDelete