Sunday 19 May 2013

Perkhidmatan Kesihatan Sekolah







Perkhidmatan Kesihatan Sekolah merangkumi:
  • Penjagaan kesihatan
  • Pemakanan
  • Promosi kesihatan
  • Rawatan rujukan penempatan kelas khas oleh:
  • Doktor perubatan dan pergigian
  • Jururawat
  • Guru-guru
Penglibatan komponen-komponen tersebut adalah untuk memastikan pencapaian optimum kesihatan warga sekolah.

5.1 OBJEKTIF PERKHIDMATAN KESIHATAN SEKOLAH

Berikut disenaraikan objektif-objektif perkhidmatan kesihatan sekolah:     
  1. Membina kesedaran dan kefahaman di kalangan kanak-kanak sekolah tentang taraf kesihatan diri sendiri
  2. Mengasaskan latihan seumur hidup tentang perlunya menilai taraf kesihatan seseorang pada jangka masa tertentu.
  3. Menentukan murid berada dalam keadaan kesihatan yang paling optima untuk menerima pelajaran dan mengambil bahagian dalam rancangan sekolah.
  4. Mengesan dengan lebih awal keadaan kesihatan yang tidak normal dengan merujuk pakar-pakar tertentu, pertubuhan-pertubuhan atau badan yang berkaitan untuk membetulkan kecacatan-kecacatan yang boleh dirawat dan juga untuk pemulihan.
  5. Memberitahu guru-guru dan ibu bapa tentang taraf kesihatan kanak-kanak sekolah untuk membolehkan rawatan lebih berkesan dan penjagaan susulan yang efektif.
  6. Mengawal penyakit yang berjangkit.
  7. Menggalakkan keselamatan di sekolah dan memberi Pertolongan Cemas dan Rawatan Kecemasan kepada kanak-kanak ketika di sekolah.
  8. Memberikan perhatian kepada kanak-kanak yang lebih memerlukan rawatan kesihatan dan penyeliaan khas.
5.2.1 Tanggungjawab dan Fungsi-fungsi Perkhidmatan Kesihatan Sekolah

Setiap kategori kakitangan yang terlibat dalam Perkhidmatan Kesihatan Sekolah hendaklah memahami peranan masing-masing supaya mereka dapat menjalankan perkhidmatan ini dengan lebih sempurna. 

Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah terdiri daripada: 
i.

Doktor (Ketua pasukan)
– 1
ii.

Jururawat Kesihatan Umum dan Jururawat Terlatih
– 1
iii.

Penolong Jururawat
– 2
iv.

Atendan
– 1
v.

Pemandu
– 1

Pasukan ini akan menjalankan kegiatan-kegiatan kesihatan dengan kerjasama guru-guru sekolah. 

Fungsi Perkhidmatan Kesihatan Sekolah adalah seperti berikut:
  1. Membina kesedaran dan kefahaman warga sekolah mengenai kepentingan kesihatan optimum.
  2. Mengesan dan merawat serta membuat rujukan kes yang memerlukan perhatian yang serius.
  3. Mencegah dan mengawal penyakit.
  4. Memberi khidmat pertolongan cemas.
  5. Menjalankan pemantauan dan penilaian terhadap aktiviti-aktiviti sekolah.

5.3 AKTIVITI-AKTIVITI PERKHIDMATAN KESIHATAN SEKOLAH

Antara aktiviti Perkhidmatan Kesihatan Sekolah adalah:
  1. Penilaian Kesihatan Kanak-kanak Sekolah;
  2. Rawatan, rujukan dan tindak susul;
  3. Imunisasi;
  4. Pendidikan Kesihatan;
  5. Kaunseling; dan
  6. Rekod dan laporan.
Penekanan diberikan kepada kanak-kanak pra sekolah, pelajar Darjah 1, Darjah 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.

(a) Penilaian Status Kesihatan

Penilaian status kesihatan meliputi pemeriksaan, pengesanan awal masalah kesihatan dan ujian saringan bagi menentukan tahap kesihatan warga sekolah seperti ujian penglihatan, kebersihan diri dan lain-lain oleh guru, jururawat dan doktor. Antara aktiviti-aktiviti yang perlu dijalankan adalah.
  1. Pemeriksaan kesihatan hendaklah dijalankan secara berkala dan berterusan.
  2. Pemeriksaan kesihatan diwajibkan untuk murid tahun 1, tahun 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5.
  3. Sekolah hendaklah mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga untuk   pemeriksaan kesihatan imunisasi murid.
  4. Rekod kesihatan murid mesti dikemas kini. RKM 1 hendaklah dihantar ke sekolah menengah yang berkenaan setelah murid itu tamat Tahun 6.
  5. Buku RKM 1 hendaklah dihantar ke sekolah baru sekiranya seseorang murid itu berpindah sekolah.
  6. Guru hendaklah memberi kerjasama semasa pemeriksaan kesihatan murid.

(b) Rujukan dan Tindakan Susulan


Aktiviti rujukan dan tindakan susulan meliputi:
  1. Pemerhatian atau rawatan awal kepada kes yang dirujuk.
  2. Tindakan susulan oleh guru, jururawat atau pegawai perubatan kepada kes yang dirujuk.


c) Khidmat Kaunseling


Perkhidmatan kaunseling perlu disediakan dan sesi ini dijalankan oleh seorang guru kaunselor yang terlatih.

(d) Pemakanan


Aktiviti pemakanan meliputi:
  1. Penilaian status pemakanan murid melalui pengambilan berat badan dan tinggi serta pengelasan status pemakanan mengikut Rekod Kesihatan Murid.
  2. Pengesanan secara fizikal dan klinikal seperti kes kurang zat makanan, obesiti, beguk, anemia  dan lain-lain.
  • Rawatan dan rujukan kes kepada doktor atau jururawat.
  • Ceramah dan promosi pemakanan (Healthy Eating) kepada warga sekolah.
  • Penyeliaan pelaksanaan penggunaan menu serta rancangan khas seperti Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu Sekolah.
  • Pemberian maklumat pemakanan melalui risalah, poster, tayangan video dan lain-lain.
  • Penyeliaan oleh Pegawai Zat Makanan dan Pegawai Kesihatan Daerah terhadap pelaksanaan penambahan iodin dalam bekalan air di sekolah yang diwartakan.


(e) Pertolongan Cemas


Walaupun langkah berjaga-jaga ada disediakan, kemalangan dan serangan penyakit akan berlaku ketika murid berada di sekolah. Polisi dan peraturan yang jelas untuk mengendalikan pertolongan kecemasan adalah diperlukan. Sekolah juga perlu menyediakan perkara-perkara asas berikut:
  1. Bilik khas kesihatan ('sick-bay') yang dilengkapi juga dengan peti pertolongan cemas.
  2. Seorang guru yang terlatih dalam memberi pertolongan cemas dan resusitasi kardio-pulmonari. 


(f) Pendidikan Kesihatan


Aktiviti pendidikan kesihatan meliputi:
  1. Penyampaian pendidikan kesihatan kepada murid secara formal dan tidak formal.
  2. Penilaian berkala dan berterusan tentang pengetahuan, sikap dan amalan kesihatan di kalangan warga sekolah.
  3. Pendedahan kepentingan penjagaan kesihatan dan keselamatan di sekolah kepada warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat.


g) Kanak-kanak dengan Keperluan Khas


Aktiviti bagi kanak-kanak dengan perkembangan pada tahap di bawah normal mengikut umur dan kehilangan keupayaan fizikal penglihatan dan pendengaran meliputi:
  1. Pendaftaran dan penempatan kanak-kanak dengan keperluan khas.
  2. Diagnosis dan pengesahan kanak-kanak dengan keperluan khas.
  3. Rujukan kes untuk program pemulihan seperti pemulihan anggota, cara kerja dan lain-lain di peringkat klinik, hospital dan komuniti kepada agensi berkaitan.

5.4 PANDUAN LAWATAN SEKOLAH DAN TATACARA

Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah hendaklah menjalankan lawatan ulangan bagi murid-murid sekurang-kurangnya sekali setahun. Kes-kes rujukan dari darjah yang lain hendaklah juga diperiksa pada masa lawatan. Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah akan memberi keutamaan kepada kanak-kanak pra sekolah, Darjah 1, Darjah 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 di mana tiap-tiap murid diperiksa oleh doktor semasa lawatan. 

Penilaian tahap kesihatan adalah merangkumi pemeriksaan, ujian saringan dan pengesanan awal bagi menentukan tahap kesihatan murid-murid di sesebuah sekolah. Aktiviti-aktiviti yang berikut hendaklah diikuti semasa sesi Kesihatan Sekolah:


(a) Lawatan Pertama

  1. Butir-butir Perihal Kesihatan dan Pelalian
  2. Berat badan dan ukuran tinggi
  3. Pemeriksaan Penglihatan dan Pendengaran
  4. Pemeriksaan Perubatan
  5. Imunisasi
  6. Rawatan Khas

(b) Lawatan Ulangan

  1. Pemeriksaan Perubatan oleh doktor bagi:
    • Murid-murid yang tidak hadir pada lawatan pertama.
    • Kes-kes tindakan susulan.
    • Kes-kes rujukan.      
  2. Imunisasi
  3. Rawatan Cacing
  4. Rawatan Khas

5.4.1 Pendidikan Kesihatan

Pendidikan ditumpukan kepada pelajar, kakitangan sekolah dan ibu bapa. Pendidikan Kesihatan  diserapkan ke dalam kurikulum (Pendidikan Jasmani dan Kesihatan) dan juga sebahagian daripada perkhidmatan kesihatan sekolah. 

Aktiviti yang dijalankan termasuklah:
  1. Pembelajaran di dalam bilik darjah
  2. Ceramah
  3. Dialog
  4. Demonstrasi
  5. Pameran
  6. Tayangan alat pandang dengar
  7. Pertandingan-pertandingan seperti kuiz kesihatan

Pendidikan Kesihatan hendaklah diberi dari masa ke semasa di waktu lawatan.
Aktiviti-aktiviti pendidikan perlulah meliputi:
  1. Pendedahan kepentingan penjagaan kesihatan dan keselamatan
  2. Penyampaian secara formal dan tidak formal
    1. Pendidikan Formal
      • Ceramah Kesihatan
§  Amalan tabiat-tabiat yang baik
§  Jagaan Kesihatan Diri
§  Kebersihan rumah dan alam sekeliling
§  Makanan seimbang dan sebagainya
      • Tayangan Gambar
§  Pertunjukan Kesihatan
      • Sesi dialog dengan PlBG
      • Pertandingan bertema kesihatan
    1. Pendidikan Informal (Perseorangan)
§  “Person to Person (Opportunistic Teaching)” 
Nasihat Perseorangan akan meliputi berbagai corak pengalaman yang dialami oleh kanak-kanak dalam kehidupan biasa di sekolah dan rumah tiap-tiap hari. 

Selalunya pengajaran yang paling bermakna boleh dihasilkan daripada penggunaan situasi daripada kegiatan seharian.
c.    Penilaian secara berterusan mengenai tahap pengetahuan, amalan kesihatan dan sikap para pelajar


5.5 MASALAH KESIHATAN DAN PENYAKIT MASA KINI


Di dalam bahagian ini kita akan membincangkan masalah kesihatan dan penyakit yang sering dialami kanak-kanak.

5.5.1 Persekitaran

Kajian oleh pihak WHO, mendapati  lima juta kanak-kanak daripada kalangan bayi hinggalah yang berumur 14 tahun meninggal dunia setiap tahun di negara-negara yang sedang membangun akibat penyakit-penyakit yang bersangkutan dengan persekitaran mereka. Alam persekitaran kanak-kanak biasanya amat selamat dan terhad pada rumah, sekolah dan komuniti.

Namun persekitaran ’selamat’ ini telah didapati berbahaya dan menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi.

Didapati enam jenis persekitaran tidak sihat dikenalpasti memberi kesan kepada kanak-kanak iaitu:
  • Air minuman yang tidak selamat
  • Tiada kebersihan diri
  • Sistem pembetungan yang tidak baik
  • Pencemaran udara, kawalan vektor
  • Kimia bahaya
  • Kemalangan
Antara penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan alam sekitar ialah:
  • Jangkitan pada sistem pernafasan
  • Cirit-birit
  • Malaria
  • Keracunan

5.5.2 Denggi

Penemuan virus baru denggi awal tahun ini (2007) juga telah menyaksikan sistem kawalan vektor di negara kita tercabar dengan kewujudan demam denggi yang meningkat secara mendadak. Sikap orang ramai dan kelonggaran penguatkuasaan oleh pihak tertentu telah dipersalahkan. Kekotoran alam sekitar melalui pembuangan sampah terutama di kawasan perumahan dan projek terbengkalai telah disifatkan sebagai ”mesra aedes”. Penemuan virus denggi terbaru dan tiada penawarnya adalah seperti berikut dengan DEN-3 menyumbang kepada bilangan kes demam denggi yang tinggi:
  • DEN-1
  • DEN-2
  • DEN-3
  • DEN-4

5.5.3 Pencemaran Udara

Pencemaran udara masih lagi merupakan masalah persekitaran utama di negara kita. Pencemaran ini berpunca daripada:
  1. Kejadian pembakaran terbuka di negara kita dan dari negara jiran.
  2. Sumber-sumber perlepasan lain seperti asap kenderaan, kilang, rokok dan sebagainya.
Beberapa kejadian jerebu telah dilaporkan pada suku akhir tahun lepas (2006). Setiap kali jerebu berlaku, kita dapat menyaksikan peningkatan bilangan orang terutama kanak-kanak yang mendapatkan rawatan perubatan akibat gangguan sistem pernafasan. Pembakaran tertutup dan terkawal menggunakan insinerator dapat mengurangkan masalah tapak pelupusan sampah yang terhad di Malaysia. Pencemaran udara bentuk baru menyebabkan penghasilan kimia berbahaya dioksin, furan dan sebagainya. Kimia-kimia ini mampu:
  1. Merencat atau menganggu sistem imunisasi;
  2. Endokrin; dan
  3. Kemunculan pelbagai penyakit lain.
Oleh itu, penubuhan pusat pembakaran insinerator berteknologi tinggi yang dicadangkan di Broga, Semenyih pada awal tahun ini perlu menjalani ujian rapi penilaian kesan alam sekitar bagi memastikan kesihatan orang ramai terutama kanak-kanak terjamin. Setiap insan berhak untuk hidup sihat dan mewarisi alam persekitaran yang lihat. Masa depan mereka ada di tangan kita. Marilah kita sama ada individu, perkumpulan, pihak sukarelawan, swasta dan kerajaan bersama-sama memikul tanggungjawab mengwujudkan alam persekitaran yang sihat pada hari ini.


5.5.4 Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut

Penyakit tangan, kaki dan mulut ialah sejenis jangkitan virus yang disebabkan oleh beberapa kumpulan virus termasuklah enterovirus (setakat ini terdapat 66 jenis telah dikenal pasti). Jangkitan ini menyebabkan:
  1. Ulser di mulut dan di tekak;
  2. Tonsil;
  3. Ruam pada kaki (pada tapak kaki) dan tangan (tapak tangan); dan
  4. Sekitar kawasan lampin.
Biasanya penyakit ini hanya sekadar sakit ringan dan ruam yang timbul itu akan hilang dalam tempuh lima hingga tujuh hari. 

Ada beberapa jenis virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut. Virus yang biasa yang menjadi penyebab penyakit ini ialah virus Coxsackie A16. Kadang-kala terdapat jenis kuman virus lain seperti virus Coxsackie A atau enterovirus 71 yang boleh mencetuskan penyakit ini. Virus Coxsackie merupakan salah satu dari jenis virus yang terdapat di dalam kelompok virus yang dikenali sebagai enterovirus seperti virus Polio, virus Coxsackie dan Echovirus. 

Di Malaysia, kuman Echovirus 7 atau Echo7 telah dikenalpasti sebagai virus yang menjadi punca kematian seorang kanak-kanak dan mungkin juga tiga kanak-kanak yang lain, baru-baru ini. Wabak penyakit HFM yang berlaku tempoh hari (Sarawak 1997) adalah disebabkan oleh virus Coxsackie dan Enterovirus 71 (EV71). EV71 telah disah menyebabkan empat dari 31 kematian akibat penyakit ini di Sarawak pada 1997. 

Di Malaysia, pada bulan Oktober 2000, sebanyak 137 kes telah dilaporkan di negeri Johor sahaja yang merupakan 40% dari keseluruhan jumlah kes (362) yang dilaporkan sepanjang tahun 2000. September 2000, lebih daripada 1000 kanak-kanak di Singapura telah didiagnoskan mengidap penyakit tangan, kaki dan mulut. 

Kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun amat mudah dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut. Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur dan ia akan menghasilkan daya tahan (imuniti) terhadap virus tertentu tetapi serangan atau episod yang kedua mungkin akan berlaku berikutan jangkitan dari beberapa jenis virus yang lain dalam kelompok enterovirus.

Penyakit ini biasanya menjangkiti kanak-kanak yang berumur di antara dua minggu hingga tiga tahun. Virus Coxsackie 16A ialah agen penyakit tangan, kaki dan mulut yang mencetuskan endemik di Malaysia dan biasanya berlaku pada tahap yang sederhana. 


RUMUSAN


  • Komponen atau teras ini merupakan aktiviti utama pihak kesihatan di sekolah. Ia dijalankan secara kerjasama antara kakitangan kesihatan, pergigian dan pihak sekolah. Ia merangkumi membina kesedaran dan kefahaman warga sekolah tentang kepentingan penjagaan kesihatan serta amalan cara hidup yang sihat.
  • Pengesanan masalah kesihatan, merawat dan merujuk kes yang memerlukan perhatian kepakaran juga dilakukan oleh pihak kesihatan.
  • Tindakan susulan kes juga dilakukan jika perlu. Aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit juga dilakukan dengan bantuan pihak kesihatan.
  • Ibu bapa seharusnya memberi kerjasama dengan memberi maklumat kesihatan yang tepat tentang anak mereka serta memberi kebenaran untuk pemeriksaan serta imunisasi. Pihak sekolah juga perlu memastikan bahawa Pasukan Kesihatan Sekolah yang datang ke sekolah untuk melakukan aktiviti pemeriksaan diberikan tempat yang sesuai untuk menjalankan aktiviti mereka.
  • Kerjasama yang telah terjalin di antara kedua-dua pihak kesihatan dan pendidikan seharusnya diucapkan syabas kerana segala aktiviti yang dijalankan telah membantu meningkatkan tahap kesihatan murid dan masyarakat amnya.
  • Kajian oleh pihak WHO, mendapati  5 juta kanak-kanak dari kalangan bayi hinggalah yang berumur 14 tahun meninggal dunia setiap tahun di negara-negara yang sedang membangun akibat penyakit-penyakit yang bersangkutan dengan persekitaran mereka.
  • Kekotoran alam sekitar melalui pembuangan sampah terutama di kawasan perumahan dan projek terbengkalai telah disifatkan sebagai ”mesra aedes”. Pencemaran udara bentuk baru menyebabkan seperti penghasilan kimia berbahaya dioksin, furan dan sebagainya.
  • Kerjasama antara individu, perkumpulan, pihak sukarelawan, swasta dan kerajaan penting bagi memikul tanggung jawab mengujudkan alam persekitaran yang sihat pada hari ini.

No comments:

Post a Comment