Wednesday 1 May 2013

Kesan Senaman dari Aspek Fisiologi dan Kesihatan





Selain daripada makanan, senaman juga adalah antara perkara penting yang perlu dilakukan untuk memastikan tubuh  mencapai kualiti yang baik. Jadi di samping kita bersenam setiap hari, apa kata baca-baca info berikut tentang senaman dan kesannya terhadap aspek fisiologi dan juga kesihatan.

Kesan Senaman Dari Aspek Fisiologi

Fisiologi merujuk pada fungsi dan proses dalam sistem tubuh badan manusia, seperti sistem pernafasan, sistem peredaran darah dan sistem otot. 

Orang yang aktif dalam senaman dan kegiatan rekreasi akan memperolehi faedah seperti peningkatan daya tahan kardiovaskular dan tahap kelenturannya. Faedah fisiologi yang lain termasuklah dapat mengawal koordinasinya dan meningkatkan daya tahan dan kekuatan ototnya.

Faedah senaman dan rekreasi dari segi fisiologi termasuklah peningkatan dari aspek:
i.koordinasi
ii.kelenturan;
iii.koordinasi;
iv. kekuatan.

Koordinasi

Koordinasi bermaksud kebolehan menyesuaikan deria dengan otot bagi menghasilkan ketepatan, kelicinan dan keharmonian pergerakan. Sekiranya seseorang itu sering melakukan aktiviti fizikal, ini akan dapat meningkatkan keupayaan koordinasinya. Sebagai contoh melakukan aktiviti yoga. Senaman Yoga dapat membantu membaiki koordinasi tubuh, mempertingkatkan kapasiti kardiovaskular, memperkuatkan jaringan otot dan membantu memperbaiki kordinasi tubuh.

Kepantasan

Kepantasan didefinisikan sebagai keupayaan melakukan pergerakan dalam suatu jangka masa yang singkat. Aktiviti fizikal berbentuk kepantasan seperti berjalan pantas dan joging perlahan meningkatkan pengaliran darah ke tisu dan otot.

Kuasa

Kuasa berkait rapat dengan kadar tenaga melakukan sesuatu kerja. Seorang yan rajin bersenam, misalnya melalui aktiviti berenang atau marathon akan dapat meningkatkan kebolehan kuasa tubuh badannya.

Keseimbangan

Keseimbangan berkait rapat dengan keupayaan mengekalkan keseimbangan ketika dalam keadaan statik atau bergerak. Contoh aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keseimbangan badan ialah berjalan di atas titian, atau berjogging dan berjalan selama 20 minit hingga 30 minit, tiga kali seminggu.

Ketangkasan

Aktiviti fizikal juga akan memberikan kesan terhadap ketangkasan seseorang. Ketangkasan adalah berkait rapat dengan keupayaan mengubah haluan atau pergerakan dengan pantas dan tepat melalui ruang. Contoh aktiviti fizikal yang dapat meningkatkan kepantasan seseorang ialah larian zig zag dan latihan boomerang.

Masa tindak balas

Masa tindak balas berkait rapat dengan masa antara suatu stimulus dengan permulaan tindakan kepada stimulus tersebut. Semakin cepat seseorang bertindak balas terhadap stimulus, semakin cepat masa tindak balasnya. Justeru, dengan melaksanakan pelbagai aktiviti fizikal, seseorang akan dapat meningkatkan masa tindak balasnya.

Kesan Senaman Terhadap Kesihatan

Kesan aktiviti fizikal terhadap kesihatan boleh dilihat dari segi:

i.daya tahan kardiorespiratori
ii. daya tahan otot
iii. kekuatan otot
iv. fleksibiliti
v. komposisi badan

Daya tahan kardiorespiratori

Carrol (1994) menyatakan bahawa kecergasan kardiovaskular adalah merupakan keupayaan seseorang untuk melakukan tugas berat secara berterusan bagi satu jangkamasa yang panjang.

 Ia juga dikenali sebagai kecergasan aerobik, iaitu keupayaan sistem peredaran dan respiratori untuk penyesuaian dan pemulihan kesan daripada aktiviti fizikal seperti berlari, berjalan laju, berbasikal, berenang dan sebagainya (Nieman, 2003). 

Melalui aktiviti fizikal seseorang itu boleh meningkatkan tahap kecergasan kardiovaskular dan juga dapat mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung, diabetes, darah tinggi dan jenis-jenis kanser yang tertentu (Larsen, George, Alaxender, dan Fellingham, 2002).

 Pate (1991) melaporkan terdapat hubungan yang konsisten antara pengukuran dalam aktiviti fizikal, kecergasan fizikal dan penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular. Melalui ujian dan pengukuran, kita boleh mengenalpasti tahap kecergasan kardiovaskular seseorang dan mencadangkan latihan yang sesuai bagi mereka. Ia boleh dijadikan motivasi untuk peningkatan prestasi, atau meneruskan gaya hidup sihat, dan juga sebagai langkah awal untuk pengesanan penyakit (Miller, 1994).

Daya tahan otot

Daya tahan otot didefinisikan sebagai keupayaan otot menghasilkan daya submaksimum yang berulang-ulang mengatasi rintangan atau mengekalkan kontraksi otot berterusan untuk suatu jangka masa yang panjang. 

Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu jangka masa yang panjang pada intensiti yang rendah. ‘Skipping’ juga adalah antara senaman ringkas dan mudah yang boleh anda lakukan pada bila-bila masa sahaja. 

Anda hanya memerlukan seutas tali ‘skipping’ dan ruang yang mencukupi. Walaupun agak mudah tetapi manfaat yang bakal anda perolehi daripada ‘skipping’ hampir sama dengan jogging. Ia membantu menguatkan otot-otot lengan, perut, paha dan juga boleh mengurangkan lemak dalam badan anda.

Kekuatan otot

Kekuatan otot didefinisikan sebagai keupayaan sesuatu otot atau kumpulan otot menghasilkan daya maksimum mengatasi rintangan. 

Komponen ini merangkumi aktiviti yang melibatkan suatu jangka masa yang pendek pada intensiti yang tinggi. Fox dan Mathews (1981) menjelaskan bahawa kekuatan adalah kemampuan otot atau sekumpulan otot dalam mengatasi rintangan bagi menghasilkan daya atau kerja. 

O’Shea (1976) menyatakan bahawa kekuatan merupakan fungsi otot rangka dan keupayaannya menghasilkan daya atau kuasa otot. Beliau menjelaskan bahawa terdapat kesan yang positif terhadap peningkatan kekuatan otot dengan latihan bebanan dalam setiap aktiviti sukan.

Fleksibiliti

Fleksibiliti merujuk pergerakan sesuatu sendi melalui julat pergerakan sepenuhnya.

 Fleksibiliti perlu bagi pergerakan yang lancar dan efisien, juga dapat mencegah daripada berlakunya kecederaan pada bahagian sendi dan otot. Aktiviti yang dapat meningkatkan fleksibiliti seseorang adalah aktiviti regangan. Senaman ini menjadikan tubuh mudah lentur. Ini dilakukan dengan aktiviti regangan membabitkan otot dan tisu yang menentukan keseimbangan tubuh. Ahli terapi fizikal mencadangkan senaman regangan dilakukan terhadap pesakit untuk pulih dari kecederaan. Selain itu, senaman ini baik untuk mencegah masalah terjatuh.

Komposisi badan

Komposisi badan merujuk perkadaran jumlah lemak badan dengan berat tanpa lemak. 

Peratusan lemak badan adalah pengukuran kegemukan yang lebih baik berbanding berat badan. Kelebihan lemak dalam badan amat berkaitan dengan pelbagai jenis penyakit kronik. Komposisi badan adalah salah satu komponen kecergasan yang penting. 

Manusia yang mempunyai komposisi badan yang optimum tampak sihat, bergerak dengan lebih efisien dan berasa yakin terhadap diri mereka sendiri. Untuk mencapai kesejahteraan, kita mesti menetapkan tahap komposisi badan yang sesuai untuk diri kita dan berusaha untuk mencapai dan mengekalkan tahap komposisi badan yang optimum.





2 comments: