Perkara asas kepada rekreasi atau kegiatan luar adalah
perkhemahan. Jadi untuk permulaan saya akan bincang dan kungsi pengalaman yang
sedikit dan rasakan amat cetek ini di blog ini.
Khemah : Pengertian amnya adalah - Tempat perlindungan sementara yang selamat,
selesa dan mempunyai kemudahan asas yang minima. Tidak kira apa bentuk dan
jenis tempat berlindungan itu.
Maksud Tempat Perlindungan adalah sebarang bentuk tempat perlindungan tidak
kira dari canves, nylon atau pun daun dan mungkin juga dari batu dan simen
sepertimana yang didirikan oleh warga pelarian perang di tapak sementara di
negeri orang . Yang pentingnya boleh memberi perlindungan dari hujan, panas,
kesejukan dan juga angin.
Bagi warga rekreasi, khemah yang diperlukan adalah ringan, lasak dan senang
dipasang dan dibuka semula. Yang paling sesuai adalah khemah dari bahan nylon
dan jenis-jenis yang ringan. Ada tiga bentuk khemah yang sesuai dengan tiga
bentuk cuaca dan persekitaran yang berbeza :
1. Khemah nylon berntuk "A" atau poncho (seperti digunkan oleh
tentera) yang sesuai digunakan di kawasan tanah rendah atau pantai. Khemah
jenis ini akan memberikan kitaran udara yang baik di tempat-tempat yang agak
panas.
2. Khemah nylon berbentuk Dome adalah sesuai digunakan dipergunungan kerana
boleh ditutup dan menghalang dari kesejukan. Khemah ini boleh memerangkap udara
panas di dalam khemah dan menghalang angin sejuk dari menerobos ke dalam.
Dengan ini memberi keselesaan kepada pengguna di persekitaran yang sejuk.
3. Khemah nylon berbentuk Igloo adalah sesuai digunakan di pergunungan air batu
dan di tempat bersalji. Fungsinya sama dengan khemah bentuk Dome di atas, cuma
ianya lebih memanaskan.
Keselamatan, ada beberapa perkara yang perlu diutamakan untuk dihindari dan
dibuat
1. Jangan mendirikan khemah betul-betul di puncak gunung atau bukit, kerana ini
akan menyebabkan kita menjadi "point of contact" sekiranya berlaku
kilat atau petir, menjadi penampan sekiranya berlaku ribut atau angin yang
kuat. Cara yang sesuai hendak dirikan khemah dalam jarak 4 ke 6 meter dari
puncak. Lagi jauh lagi baik. Peristiwa dipanah petir pernah berlaku di sebuah
gunung di Negeri Pahang satu ketika dahulu.
2. Jangan dirikan khemah di tepi tebing atau bawah tebing yang curam. Kerana
tebing-tebing ini berpotensi untuk runtuh bila berlaku hujan atau sebagainya.
3. Jangan berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai. Banjir kilat di
kawasan pendalaman akan berlaku tanpa disedari dan dalam beberapa saat saja air
akan naik mendadak menghanyutkan khemah bila berlaku hujan di hulu sungai.
4. Hindari dari berkhemah di laluan binatang "Denai" kerana bila-bila
masa saja binatang hutan akan melalui denai berkenaan. Yang paling bahaya
adalah kumpulan gajah. Dalam sekelip mata saja khemah yang didirikan akan ranap
kerana gajah akan berjalan berkumpulan. Jadi Jarakkan dari denai
sekurang-kurangnya 4 ke 5 meter.
5. Sekiranya perlu buat unggun api hendaklah dalam jarak 4 meter dari khemah
untuk mengelak percikan bunga api dan membakar khemah.
6. Jangan sekali-kali membawa masuk api ke dalam khemah seperti lampu gas atau
minyak, dapur gas atau minyak, menghisap rokok dan sebagainya. Benda-benda ini
bukan saja penyebab kebakaran tetapi juga sekiranya khemah bertutup rapat,
ianya akan menghabiskan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida dan meracuni
udara di dalam khemah. Ini telah berlaku kematian sebagaimana berlaku di Gunung
Korbu, Ulu Kinta satu masa dulu.
7. Hindari berkhemah di padang-padang lalang atau resam kerana lalang atau
resam kering mudah terbakar. Begitu juga di tengah-tengah padang lapang kerana
kemungkinan disambar petir adalah besar.
8. Dilarang sama sekali mendirikan khemah di bawah pokok yang rimbun, kerana
bila hujan atau berlaku ribut, dahan-dahan pokok ini dengan daun yang rimbun
dan berat amat berpotensi untuk runtuh dan menimpa khemah.
9. Jangan mendirikan khemah di bawah pokok yang mati. Pokok yang mati memang
mereput dan akan patah pada bila-bila masa saja. Kemungkinan besar akan
menghempap khemah.
10. Pastikan pintu khemah bertutup (zip) bila meninggalkan khemah untuk
mengelak dari sebarang binatang atau serangga berbisa memasuki khemah.
11. Bila mendirikan khemah hendaklah pintu khemah tersebut membelakangkan arah
tiupan angin untuk mengelakkan dari angin kuat menerobos ke dalam khemah bila pintu
khemah di buka dan berpotensi untuk menerbangkan khemah atau paling tidak
merusakan khemah.
12. Apa-apa benda tajam parang pisau dan sebagainaya hendaklah bersarung atau
disimpan ditempat yang selamat dari terpijak dan senang untuk diambil bila
perlu
13. Hendaklah menanda satu tempat bertemu atau berkumpul kembali yang
difikirkan selamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan dan semuanya ahli
bertepiaran lari ke pelbagai arah. Dan apabila keadaan sudah pulih tempat yang
ditanda tadilah semua akan berkumpul semula
14. Setiap ahli atau anggota hendaklah mempunyai wisel untuk digunakan semasa
kecemasan. Setiap keperluan tiupan wisel hendaklah diberikan Kod Nada dan
jangan ditiup sesuka hati.
Untuk keselesaan, carilah tapak khemah yang rata dan tidak berbatu. Elak dari
tapak yang lecak, berlumpur atau bertunggul.
Untuk mendapat kemudahan asas hendaklah berkhemah dekat dengan punca air dan
berhampiran denai atau trek.
Satu pesanan penting : Bawa keluar apa yang dibawa masuk, terutama tin dan
bekas plastik. Jangan menebang pokok sekiranya tidak sangat-sangat diperlukan.
Buang najis hendaklah di dalam lubang dan ditimbus bukan di dalam sungai.
Memilih Kawasan
1. Sumber Asas
Untuk memilih kawasan ataupun tapak perkhemahan yang baik, perkara yang paling utama untuk diambil kira ialah sumber alam semulajadi terutamanya punca air. Punca air adalah penting untuk kita
memasak, minum, membersihkan diri dan sebagainya. Namun begitu anda DILARANG
berkhemah terlalu dekat dengan sungai dikawasan hulu atau berbukit. jika hujan
dikawasan ini, terutamanya di sebalah hulu, paras air akan tiba-tiba naik
dengan cepat.
2. Bentuk Muka Bumi
Bentuk muka
bumi yang sesuai adalah tanah rata dan kering.
Kedudukan tanah tersebut haruslah tinggi sedikit daripada kawasan disekitarnya
untuk mengelakkan air bertakung / banjir ketika hujan lebat. Permukaan tanah
juga seharusnya tidak berbatu-batu kerana ia tidak menyelesakan ketika tidur.
Tambahan pula, ia boleh merosakkan alas khemah anda.
Anda juga TIDAK digalakkan untuk
mendirikan khemah di bawah pokok yang besar
ataupun yang sudah tua. Kerana dikhuatiri dahan yang besar dari pokok tersebut
akan menghempap khemah anda. Anda juga harus memastikan bahawa tapak
perkhemahan anda jauh dari semak dan belukar kerana kawasan begini merupakan
tempat sarang serangga ataupun binatang
merayap seperti ular, kala jengking dan lipan. Bukan itu sahaja, tunas lalang
yang tajam boleh mengoyakkan khemah.
Tetapi anda juga diingatkan supaya tidak mencari kawasan yang terlalu lapang,
sekurangnya tidak jauh dari tempat anda mempunyai pokok atau bukit untuk
mengelakkan ancaman angin. Anda juga dilarang untuk mendirikan khemah yang
terlalu dekat dengan kaki bukit kerana bahaya tanah runtuh.
3. Perhubungan
Kawasan yang anda pilih sekurang-kurangnya mempunyai cara untuk berhubung
dengan orang diluar kawasan perkhemahan tersebut seperti jalan raya, telefon
awam, balai polis, rumah penduduk kampung dan sebagainya. Ini untuk memudahkan
anda mendapatkan bantuan segera jika perlu. Jika anda menjalankan aktiviti ini
dikawasan yang terpencil atau jauh kedalam hutan, pastikan anda berhampiran
dengan tanah lapang dan tinggi supaya
kedudukan anda mudah dikesan dari udara.
4. Sinar Matahari
Kedudukan anda seharusnya mendapat sinar matahari disebelah pagi untuk
tujuan mengeringkan udara lembap dalam khemah dan juga mengeringkan pakaian dan
peralatan yang basah. Pemandangan yang indah juga tidak kurang pentingnya
kerana ia dapat memberikan ketenangan kepada kita serta perkhemahan kita
menjadi lebih seronok.
5. Denai Binatang
Jangan sekali-kali mendirikan khemah dikawasan denai binatang. Kerana
dikhuatiri khemah anda akan menjadi mangsa rempuhan binatang yang menggunakan
denai tersebut.
Sekian, selamat berekreasi!^_^